Kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-10 telah diselesaikan secara arif lagi bijaksana oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan telus dan berwibawa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN mendukung sepenuhnya Perlembagaan Negara serta menjunjung titah yang diputuskan oleh Agong.
“Pertimbangan ini berlunaskan perlembagaan negara berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri.
“Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat, maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya.
Beliau yang juga merupakan Presiden UMNO menjelaskan, bagi memenuhi kriteria menjadi seorang Perdana Menteri perlu melalui pelbagai proses yang ketat termasuklah memanggil mengadap ketua-ketua blok parti.
Dalam pada itu, BN yang pada awalnya bertegas dengan keputusan untuk menjadi pembangkang dan berkecuali dalam pemilihan PM akhirnya akur menyerahkan 30 kerusi demi pertimbangan kebijaksanaan Agong untuk menentukannya termasuklah GPS dan GRS.
“Hal ini berlaku selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.
“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti. BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” ujar Zahid.
Sebelum ini, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah sebulat suara bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atau sebarang bentuk kerajaan lain yang ditetapkan oleh Agong.
Keputusan MKT tersebut sekaligus menjadikan pihak Istana Negara melaksanakan proses-proses berkaitan termasuklah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Hal itu termasuklah berkaitan pelantikan PM ke-10 dalam memastikan ketelusan berlaku sebelum memuktamadkan keputusan.
“Apabila pelantikan Perdana Menteri ke-10 sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan tersebut.
“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.
“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara,” katanya.
Justeru itu, Zahid menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menjunjung titah Agong dalam pelantikan PM ke-10 dalam membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan.
BN juga akan menyokong usul undi percaya kepada PM agar keabsahan PM dimuktamadkan manakala pihak yang cuma mempertikaikan pelantikan tersebut akan senyap.
“Walaupun ada pihak mengatakan ini langkah berisiko PM baharu, namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” tambah Zahid lagi.
Discussion about this post