Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid berpendapat pemilihan Timbalan Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan perlu mengikut hierarki demi kestabilan parti.
Katanya, UMNO perli mengambil iktibar daripada situasi sebelum ini dimana Perdana Menteri dilantik bukannya Presiden dan secara tidak langsung mengundang pelbagai masalah dalaman parti.
“Kita tidak boleh menipu diri kita sendiri apabila wujudnya kem Presiden dan kem Perdana Menteri ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tidak dinafikan situasi ini juga adalah salah satu faktor penyumbang kepada kekalahan BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan respon rakyat di media sosial, majoritinya menyatakan Ahmad Zahid tidak layak sebagai Timbalan Perdana Menteri atas sebab tertentu.
“Tetapi saya perlu ingatkan bahawa beliau (Ahmad Zahid) masih Presiden UMNO yang sah sehingga tempoh berakhir pada pemilihan akan datang iaitu selewat-lewatnya pada 18 Mei tahun depan.
“Jadi, desakan dalaman parti yang meminta Presiden meletak jawatan bukanlah jalan penyelesaian yang mutlak.
“Saya masih berpendapat bahawa hierarki parti perlu dihormati dan perlu diterjemahkan,” katanya.
Johari yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras menjelaskan, setiap ahli parti mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja untuk menerajui parti bagi meneruskan perjuangan ini pada pemilihan Umno akan datang.
Katanya, jangan disebabkan pemikiran jangka pendek dan emosi semata-mata kita terjerumus ke kancah yang lebih teruk dan akhirnya menyebabkan Umno tidak mampu bangkit pada PRU16 akan datang.
“Solidariti bersama Presiden adalah amat-amat dituntut dan diperlukan dalam saat-saat penting ini.
“Kita perlu buktikan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang cukup matang yang sentiasa menitikberatkan dan mengutamakan kestabilan negara demi kemakmuran rakyat,” katanya.
Discussion about this post