Lawan Barisan Nasional (BN) masih belum dapat memutuskan calon Menteri Besar andai mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya mereka memberi alasan fokus ketika ini adalah kepada strategi untuk menang terlebih dahulu.
“Barangkali mereka gunakan formula sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), “Menang Dulu, Berebut Kemudian”.
“Formula sama yang menyebabkan Perdana Menteri Ketujuh lewat dapat membentuk Kabinet kerajaan 22 bulan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, orang Johor yang bijaksana pasti mengerti lawan BN sebenarnya sukar capai kata sepakat calon Menteri Besar Johor.
“Sekaligus mengesahkan bahawa tiada kestabilan politik pada mereka untuk negeri Johor.
“Keadaan yang mengabsahkan mereka bertanding PRN Johor tanpa perhitungan masa depan rakyat negeri itu.
“Sebaliknya mahu kembali berkuasa atau semata-mata untuk menyekat kebangkitan BN,” katanya.
Beliau berkata, sangat “obvious” ketidakstabilan mereka sehinggakan penggunan logo pun tidak sepakat.
“Justeru, bagaimana pihak yang tidak stabil boleh menawarkan kestabilan andai diberi undi pada 12 Mac ini?
“BN bertanding PRN Johor dengan iltizam mengembalikan kestabilan dan kemajuan di Johor.
“Kita mempunyai hala tuju jelas bagaimana untuk mentadbir Johor sejurus diberi mandat atas pengalaman dan kemampuan,” katanya.
Ujarnya, sebenarnya rakyat Johor memang perlu berwaspada dengan lawan BN yang sejak azali kaya dengan formula.
“Semasa PRU-14 mereka kemukakan formula “PH Menang, Rakyat Senang” dan “RM50 Penuh Satu Troli”.
“Begitu juga dengan formula “Hari Ini Menang Esok Harga Petrol RM1.50” atau “PH Menang Mansuh Perbadanan Tabung Tinggi Nasional (PTPTN)”.
“Tidak perlu diulas panjang lebar apa telah terjadi kepada formula-formula itu selepas mereka diberi kuasa,” katanya.
Tambah beliau, rakyat termasuk di Johor lebih mengetahui kerana telah merasai akibat sebilangan kita tersalah undi.
“Kali ini orang Johor tidak boleh silap lagi. Bersama kita “restore” kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan,” katanya.
Discussion about this post