Tindakan dan siasatan terhadap Tajuddin hanya akan dilakukan oleh Lembaga Disiplin UMNO jika mendapat permintaan dan laporan daripada ahli UMNO.
Itu ketegasan yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan tingkah laku bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Tajuddin yang cuba menganggu gugat ketenteraman parti tersebut.
“Apa sahaja yang dikatakan oleh beliau sama ada ia tidak benar atau ada sedikit kebenaran, saya serahkan kepada ahli Umno terutama di akar umbi untuk membuat penilaian sewajarnya terhadap kedudukan seseorang itu sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya dalam satu temubual bersama media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Zahid Hamidi menyatakan, keputusan untuk menyiasat Ahli Parlimen Salak itu juga bertujuan untuk menghormati perlembagaan parti kerana adanya Lembaga Disiplin yang akan melakukan tindakan yang sewajarnya terhadap Tajuddin.
Dalam masa yang sama, beliau mengakui tidak mengetahui sekiranya ada perjumpaan yang melibatkan gerakan bagi memintanya berundur dengan cara yang baik sebagai Presiden UMNO.
Mengulas lanjut mengenai keputusan untuk memecat jawatan Tajuddin sebagai MT UMNO pula, Zahid Hamidi menekankan keputusan yang dibuat oleh perlembagaan parti haruslah dihormati kerana keputusan yang dibuat pasti ada sebab dan musabab yang berasas.
“Jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan maka jika ada sesuatu permintaan, maka ada peraturan parti yang membolehkan atau tidak membolehkan seseorang itu berada di sesuatu jawatan.
“Saya menghormati apa juga kenyataan yang dikeluarkan tetapi pokoknya bahawa beliau (Tajuddin) tidak lagi menjadi Ahli MT,” kata Zahid Hamidi.
Tambah beliau lagi, pelantikan Tajuddin sebagai ahli MT adalah berupa rayuan selepas kalah untuk jawatan naib presiden dan pelantikan tersebut dibuat mengikut fasa yang ditetapkan dalam perlembagaan.
Seterusnya, kuasa yang ada dalam perlembagaan pula diserahkan kepada Presiden bagi melantik seseorang yang disahkan sebagai ahli parti untuk berada di kerusi sebagai ahli MT.
“Jadi terpulang mengikut klausa (perlembagaan) berkenaan sama ada untuk melantik atau menamatkan atau menggantikan tempat yang kosong itu dengan seseorang lain mengikut klausa dalam perlembagaan UMNO,” katanya lagi.
Seperti untaian peribahasa, jelaslah tindakan Tajuddin umpama buruk muka, cermin dibelah kerana memilih untuk meletakkan kesalahan ke atas orang lain walaupun kesalahan tersebut adalah berpunca daripada diri sendiri.
Apa yang perlu dilakukan sebaliknya ialah dengan perbaiki diri untuk terus berjuang demi negara dan rakyat.
Discussion about this post