MCA mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada 19 April 2021 yang menuduh kononnya MCA, Gerakan dan segelintir ahli DAP sedang mengatur gerakan ‘perpaduan Cina’ secara rahsia. Kenyataan ini adalah rekaan Kit Siang semata-mata yang sama sekali tidak berasas.
Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata memandangkan Kit Siang juga ada menyebut tentang ahli partinya sendiri, maka kami mencabar Kit Siang untuk mendedahkan identiti mereka yang didakwa kononnya bekerjasama dengan MCA, atau apa-apa bukti yang dapat menyokong dakwaannya.
” Kit Siang tidak mungkin dapat menunjukkan bukti, kerana ini merupakan berita palsu yang sengaja direkanya untuk kepentingan politik sendiri susulan pemilihan parti DAP tidak lama lagi.”
” Tujuannya adalah untuk merosakkan imej musuh beliau dalam parti DAP, dan membuka peluang kepada diri sendiri serta kroninya untuk menang dalam pemilihan kali ini. Dakwaan wujudnya gerakan ‘perpaduan Cina’ hanyalah taktik licik Kit Siang dalam menghadapi pemilihan parti” katanya lagi dalam satu kenyataan semalam.
Tegas Mike Chong Yew Chuan lagi, MCA tidak berminat untuk masuk campur urusan Kit Siang dalam menghadapi pemilihan partinya, tetapi janganlah heret masyarakat Cina atau sesiapa sahaja dalam permainan politik kotor seperti ini.
Dalam pada itu, menurut Mike lagi Kit Siang turut menuduh mereka yang kononnya terlibat dalam gerakan ‘perpaduan Cina’ tersebut mahukan kawasan-kawasan DAP yang diwakili bukan Cina seperti Gobind Singh Deo, M Kulasegaran, Noorita Sual, RSN Rayer, Ramkarpal Singh dan lain-lain, memberi laluan kepada calon-calon Cina DAP.
“Niat Kit Siang amat keji dan kotor, iaitu mahu membakar sentimen perkauman seterusnya menimbulkan salah faham dan konflik di kalangan masyarakat pelbagai kaum, yang sudah tentu akan mengakibatkan masyarakat Cina dipandang serong”
Kami tertanya-tanya, bagaimana seorang ahli politik veteran seperti Kit Siang, tergamak mereka cerita palsu untuk memfitnah MCA? Malah, menimbulkan ketegangan kaum? Di manakah hati perut kamu, Lim Kit Siang? soalnya lagi.
’Perpaduan’ sepatutnya diterjemahkan sebagai suatu nilai positif yang harus digalakkan dan dialu-alukan, apabila ia melibatkan sesuatu kaum mahupun di antara pelbagai kaum. Amat malang sekali ‘perpaduan’ telah dilabel sebagai suatu bentuk jenayah oleh Kit Siang semata-mata kerana agenda politik sempitnya.
Oleh yang demikian, kami menyeru kepada Kit Siang sebagai seorang MP serta pemimpin veteran DAP, supaya lebih bertanggungjawab terhadap kenyataannya sendiri. Dalam masa sama, menggalas tanggungjawab memelihara perpaduan negara serta keharmonian kaum, dan segera berhenti daripada mereka-reka cerita palsu yang boleh menimbulkan ketegangan masyarakat.
Discussion about this post