Pembukaan kembali pra-sekolah dan sekolah rendah pada 1 Mac lalu setelah hampir setahun ditutup akibat pandemik COVID-19 pastinya memberi nafas lega buat ibu bapa. Bukan sahaja kerana dapat pergi ke pejabat dengan tenang, kerana sudah mengetahui anak berada di sekolah malah secara tidak langsung kita tahu mereka sedang menjalani proses pembelajaran untuk mengembangkan kemahiran sosial mereka.
Ketua Wanita MCA Selangor, Tee Hooi Ling berkata bagi kanak-kanak di bawah usia tiga tahun, kajian mendapati, apa yang ditunjukkan oleh mereka mungkin adalah bayangan bagaimana dirinya pada usia 26 tahun kelak. Perilaku dan perwatakan mereka juga makin dipengaruhi oleh ibu bapa mereka dan hanya segelintir dipengaruhi oleh kawan-kawan.
Oleh itu, adalah penting untuk kita memastikan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang baik kerana umum mengetahui perkembangan kognitif mereka mungkin terjejas akibat penutupan institusi pendidikan awal. Ini membuatkan mereka kekurangan peluang untuk mengembangkan kemahiran sosial, kreatif dan literasi awal katanya lagi.
” Wanita MCA berpendapat tadika dan taska ini merupakan institusi pendidikan awal sebenar dan bukan sekadar tempat anak ‘bermain-main’ kerana di sinilah kita dapat memupuk minat belajar di kalangan mereka”
Menurut Tee lagi, mereka telah cuti terlalu lama semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan dalam tempoh itu banyak peluang pembelajaran yang mereka terlepas. Tambahan pula dengan musim cuti sekolah yang bakal tiba, keciciran itu akan terus berlaku kerana ibu bapa tidak dapat meluangkan masa sepenuhnya untuk melakukan aktiviti bersama mereka akibat kekangan kerja dan sebagainya.
” Kita tidak mahu anak-anak ini tercicir sekali lagi kerana mereka memerlukan aktiviti luar dan sosial bagi membantu mereka mengatur tahap tenaga. Jika gagal, tidak mustahil mereka akan mengalami masalah tingkah-laku dan tertekan”.
Tenaga pengajar pendidikan awal kanak-kanak boleh berkongsi dengan ibu bapa bagaimana cara untuk melakukan aktiviti yang sama seperti di taska atau tadika. Kaedah itu boleh dipraktikkan di rumah semasa cuti sekolah atau (jika) pusat pendidikan perlu ditutup akibat penularan pandemik ini. Jika ibu bapa tahu kaedah ini, sekurang-kurangnya masa anak-anak ini akan terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan menyeronokkan.
Namun, tanggungjawab ini bukan terletak di bahu kerajaan dan warga pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mencari penyelesaian terhadap isu ini. Wanita MCA menyeru kepada ibu bapa di luar sana untuk terus meluangkan masa bersama anak-anak mereka.
Hakikat yang kita perlu sedar, kemahiran dan pemikiran anak-anak ini perlu dipupuk sejak mereka kecil lagi. Oleh kerana itu, pendidikan awal kanak-kanak perlu dititiberatkan supaya mereka tidak keciciran dikemudian hari katanya lagi. Mca Online
Discussion about this post