Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan pasport Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diserahkan sementara bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan pasport itu untuk diserahkan bagi membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.
“Jaminan diberikan kepada Ahmad Zahid dengan syarat pasport diserahkan mengikut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, mahkamah mengambil kira tertuduh (Ahmad Zahid) kini Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai tugasan rasmi tetapi tidak boleh pada hari sama dalam prosiding mahkamah yang perlu dihadirinya.
“Mahkamah ada fungsi untuk dilaksanakan dan benarkan tertuduh untuk mendapatkan kembali sementara dokumen (pasport antarabangsa) untuk membuat pasport diplomatik.
“Saya setuju dengan pendakwaan bahawa Ahmad Zahid perlu kembalikannya kepada mahkamah selepas selesai buat pasport diplomatik,” katanya.
Terdahulu, peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata alasan permohonan itu seperti dalam afidavit sokongan difailkan anak guam pada 20 Januari lalu dan pendakwaan tidak membantah perkara itu.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.
Pada 20 Januari lalu, Ahmad Zahid membuat permohonan itu dengan niat baik yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi.
Pasport itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Discussion about this post