Majikan yang tidak membenarkan pekerjanya menjalani kuarantin kendiri boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, majikan perlu memberi kebenaran kepada pekerja masing-masing menjalani kuarantin diri selepas melakukan ujian COVID-19.
“Jika kebenaran tidak diberi, ada peruntukan dalam Akta 342 yang boleh mengenakan penalti terhadap mereka.
“Tindakan boleh diambil jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji, menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Dr Adham berkata, pekerja yang menjadi kontak rapat akan diberi gelang kuarantin untuk perintah pemantauan di rumah (HSO) selama 10 hari dan sekiranya negatif, mereka digalakkan menjalani pengasingan secara sukarela sehingga yakin bebas daripada jangkitan COVID-19.
Discussion about this post