Majikan perlu memberi kebenaran untuk kakitangan bekerja dari rumah (BDR) bagi mereka yang tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, arahan itu terpakai untuk pekerja bukan dalam perkhidmatan perlu atau ‘non essential’ yang mana majikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Kementerian menerima banyak aduan daripada pekerja mengatakan diugut majikan untuk hadir bekerja dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.
“Oleh itu jika pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada kementerian menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).
“Selain kategori aduan BDR, aplikasi ini juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu buruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan yang diterima menerusi aplikasi WSW yang mana sebanyak 1,878 aduan membabitkan isu majikan tidak membenarkan pekerja BDR, antara 23 Mei hingga semalam.
Dalam catatan angka tersebut, Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 696 aduan diikuti Kuala Lumpur 505, Johor 196 dan Pulau Pinang 123.
Menurut beliau, dari 1 Jun hingga semalam, sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat dan tempat kerja dikeluarkan agensi penguatkuasaan di bawah kementerian seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Dengan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur bermula 3 Julai, kementerian mempergiat aktiviti penguatkuasaan mengikut akta berkaitan.
“Kita menyeru supaya majikan mematuhi SOP PKPD ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.
Discussion about this post