Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini dijangka membincangkan isu pelantikan perdana menteri dan pembentukan Kabinet baharu.
Mesyuarat itu dilihat sebagai proses akhir sebelum Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menentukan pemimpin politik yang benar-benar layak dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.
Seri Paduka berkenan menerima menghadap ahli Parlimen dari parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Jun 2021.
Mereka menyembah maklum secara lisan melalui kaedah fizikal dan secara dalam talian dalam waktu berlainan dan sesi itu selesai kira-kira pukul 4 petang semalam.
Namun pihak pembangkang dilaporkan tidak mendapat jemputan sama selepas tamat proses undian semua ahli Parlimen, Rabu lalu untuk menyatakan calon Perdana Menteri pilihan yang dihantar melalui emel ke Istana Negara.
Untuk rekod, Ismail Sabri didakwa mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli Parlimen berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 sokongan wakil rakyat.
Muhyiddin dan seluruh Kabinet baru-baru ini telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan mereka.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemudian dilantik sebagai ketua kerajaan sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Situasi itu menyaksikan sejarah peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dilantik sebagai perdana menteri sementara berulang sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah menjadi ketua kerajaan baharu, Mac tahun lalu.
Discussion about this post