Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas proses penamaan calon, 8 November ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata manifesto berkenaan adalah tawaran baharu kepada rakyat di negeri ini sekiranya parti itu diberikan mandat pada 20 November ini.
“Kami akan memberi tawaran baharu dalam manifesto kami kepada rakyat Melaka faedah daripada kerajaan yang stabil, makmur dan ada kredibiliti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka tidak memperincikan manifesto yang akan diumumkan kelak.
Beliau turut memberi jaminan bahawa BN akan mengetengahkan lebih banyak muka baharu dari kalangan tokoh muda sebagai calon pada PRN berkenaan.
“Soal calon, kita tunggu hari penamaan calon tetapi saya jamin kali ini kebanyakannya adalah muka baharu dan tokoh muda yang akan kita ketengahkan,” katanya dan menambah jentera parti kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktember lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
– BERNAMA
Discussion about this post