Manifesto Barisan Nasional (BN) direalisasikan untuk dijadikan penanda aras kepada rakyat memahami struktur ekonomi yang bakal dilakukan sekiranya BN mentadbir negara.
Jurucakap MCA, Chan Quin Er menyifatkan manifesto BN Perancangan Amal Dan Usaha (PADU), memperlihatkan sebuah kerangka yang inklusif dan sederhana yang tidak membezakan kaum tetapi mengamalkan dasar berasaskan keperluan rakyat.
“Rekod pencapaian BN sepanjang mentadbir negara seharusnya menjadi penanda aras kepada rakyat untuk memilih BN bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya menerusi rancangan Pentas Barisan Nasional hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Shahrizal Md Sidek berkata PADU adalah janji yang mengetengahkan keperluan rakyat dan tidak terlalu bombastik.
“Melalui PADU, anak daripada golongan berpendapatan rendah (B40) boleh memasuki universiti secara percuma bagi memastikan bakat-bakat anak B40 dapat diperkembangkan tanpa ada kekangan kewangan.
“Asuhan nasional diperkasakan secara percuma kepada ibu tunggal yang ingin kembali bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Calon BN Parlimen Ampang, Ivone Low Yi Wen tekad untuk memberi perubahan kepada Parlimen Ampang sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Saya akan menekankan lima teras utama untuk pembangunan sekitar Ampang seperti menaik taraf infrastruktur yang menjadi isu kepada komuniti setempat dan menambah skuad perkhidmatan penyelenggaraan.
“Mengaktifkan semula ekonomi di kawasan Ampang yang dilihat amat pasif dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tumpuan pelancong.
“Sukan e-sport juga bakal diperkasakan melalui kempen, khusus untuk menjadikan e-sport sebagai kerjaya malah program keusahawanan kepada golongan wanita turut diperkembangkan,” ujarnya.
Discussion about this post