Program bimbingan dan pembiayaan perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam usaha untuk melahirkan usahawan bumiputera akan dilakukan tanpa mengira parti.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA tidak akan mengamalkan konsep tapisan yang mengambil kira parti untuk memastikan semua program serta inisiatif MARA dapat dinikmati oleh golongan sasar.
“Sejak ditubuhkan, MARA tidka pernah pilih bulu. Bila saya berada dalam MARA saya akan teruskan tradisi ini sebab apa yang penting kami mahu pastikan hasrat untuk bangunkan modal insan dan usahawan tercapai.
“Usaha ini semua untuk anak bangsa kita, jangan lihat warna parti,” kata Asyraf dalam satu sidang media selepas melancarkan Program Pembangunan Usahawan Teknikal Solar (Proscolar), Selasa lalu.
Asyraf yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO telah dilantik sebagai Pengerusi MARA yang ke-32 pada 10 Mac lalu menekankan akan memanfaatkan pengalaman beliau sebagai dalam bidang perbankan untuk bantu MARA beralih kepada sistem pembiayaan lebih efisyen.
Dalam masa yang sama, beliau juga berkongsi hasrat untuk membantu MARA memperkenalkan satu sistem pembiayaan yang tidak melibatkan kos tinggi dan selari dengan kehenak syariah dalam masa terdekat.
Mengenai Program Prosolar, beliau berkata ia diwujudkan sebagai suatu program berstruktur yang menyediakan pendedahan, latihan dan bimbingan kepada usahawan dalam pelbagai industri tenaga boleh baharu.
Seramai 20 peserta akan dipilih untuk menyertai fasa pertama program berkenaan, sebelum diteruskan ke fasa seterusnya bagi mencapai sasaran melahirkan 120 peserta.
Discussion about this post