MCA sentiasa bersedia memberikan peluang kepada golongan muda dan menyediakan platform untuk bakat dan kebolehan mereka, termasuk memberi peluang untuk memimpin parti politik negara dan negeri.
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata hal itu terbukti dengan pelantikan dua ADUN daripada MCA sebagai Exco kerajaan Negeri Johor baru-baru ini.
“Pemuda MCA mengucapkan tahniah kepada ADUN Yong Peng, YB Ling Tian Soon dan ADUN Paloh, YB Lee Ting Han atas pelantikan mereka sebagai Exco kerajaan negeri Johor.
“Pelantikan kedua-dua ADUN ini membuktikan bahawa MCA bukan sahaja sedia untuk memberi peluang kepada golongan belia, tetapi juga menjaga kepentingan mereka, melalui penyediaan satu platform untuk membolehkan orang muda Johor mempamerkan bakat dan kebolehan mereka, termasuk peluang untuk memimpin parti politik di peringkat negara dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nicole menegaskan bahawa perkara itu jelas menunjukkan bahawa MCA bukan sahaja mendengar suara orang muda, tetapi juga mengambil langkah praktikal untuk menjadikannya realiti.
Sebagi rekod, ADUN Yong Peng, YB Ling Tian Soon telah dilantik untuk menerajui portfolio Kesihatan dan Perpaduan, manakala ADUN Paloh YB Lee Ting Han telah diumumkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.
Kedua-dua mereka adalah pemimpin muda di bawah umur 40 tahun.
“Pemuda MCA yakin bahawa kedua-dua mereka ini akan membuat yang sebaik mungkin untuk membantu rakyat,” katanya.
Discussion about this post