Perjuangan MCA untuk bangkit sebagai kuasa politik berpengaruh bukan lagi rahsia.
MCA pernah melalui zaman kegemilangannya apabila ‘menakluk’ 31 kerusi parlimen pada 2004 – hinggalah dia hampir tersingkir sama sekali dari Dewan Rakyat akibat penolakan besar-besaran pada 2018.
Ketika itu presidennya Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong terselamat apabila berjaya mengekalkan kerusi di Ayer Hitam dan mengatasi calon DAP, Liew Chin Tong.
Dan Wee menjadi satu-satunya ahli Dewan Rakyat MCA ketika itu
“Ketika itu, di bumi bertuah Yong Peng ini, saya berjaya menang dengan majoriti 303 undi,” kata Wee.
Kemudian datanglah pilihan raya kecil di Tanjung Piai pada 2018, MCA yang menjadi pembangkang ketika itu berjaya menambah bilangan kerusinya menjadi dua melalui kemenangan Wee Jeck Seng.
Di peringkat DUN, MCA Johor memang mengalami kekalahan teruk. Tidak ada seorang pun calon mereka berjaya mengatasi cabaran pada 2018.
Kali ini, menurut Wee MCA sekali lagi menghadapi pertempuran antara “hidup dan mati” dan ia bergantung kepada pengundi yang telah menyelamatkannya pada PRU ke-14 lalu.
“Jika kita melakar kejayaan di Johor, maka ia boleh menjadi permulaan kepada kemenangan yang lebih besar dalam PRU ke-15,” katanya.
Di Yong Peng, MCA meletakkan individu yang paling dipercayai Wee, iaitu Ling Tian Soon, yang juga setiausaha organisasi MCA kebangsaan dan ketua Pemuda MCA Johor.
Jelas Wee harapannya agar Ling mampu membawa parti itu ke dalam DUN Johor selepas 12 Mac ini.
“Dalam PRN ini, daripada 15 calon MCA, yang paling senior ialah calon di Yong Peng kerana dia juga setiausaha organisasi kebangsaan MCA,” katanya.
Ling akan menentang Alan Tee Boon Tsong, yang merupakan setiausaha politik kepada Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Pada PRU lalu, walaupun DAP tewas di Ayer Hitam, parti itu memenangi Yong Peng dengan majoriti 5,089 undi melalui calon mereka, Chew Peck Choo.
Namun di sebalik majoriti selesa DAP di Yong Peng, Tee adalah orang baru yang dibawa ke situ bagi menggantikan penyandang, Chew. Tee sebelum ini menjadi Adun di kerusi selamat DAP iaitu Senai.
Untuk rekod daripada 15 calon MCA, 10 adalah muka baru. Separuh daripadanya berumur bawah 40 tahun dengan yang paling muda berusia 27 tahun, manakala yang paling tua berusia 60 tahun.
Wee turut memulakan serangannya terhadap Pakatan Harapan (PH) semasa majlis itu dengan mendakwa gabungan terbabit yang memperolehi mandat pada 2018 gagal menunaikan janji manifesto mereka ketika menjadi kerajaan.
Ini termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memansuhkan tol lebuh raya.
Dia juga mengkritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana meletak jawatan sebagai perdana menteri PH sebelum ini dengan menyatakan bahawa ia menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.
Discussion about this post