Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad meluahkan rasa kesal dengan tindakan seorang ahli Parlimen menggunakan perkataan ‘lahabau Melaka, jom undi’ dalam kempen Pilihanraya Negeri Melaka.
Beliau berkata tindakan itu disifatkan sebagai memalukan dan menghina rakyat negeri Melaka.
Tambahnya, dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata benar perkataan ‘lahabau’ memang sering digunakan sebagai dialog dalam perbualan harian tapi ia hanya digunakan dalam konteks rakan karib dan gurauan sesama sendiri.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri berkata, bagi orang luar atau orang yang tidak dikenali adalah sangat tidak sesuai untuk menggunakan perkataan seperti itu kerana ia merupakan penghinaan dan cacian.
Saya menyeru seluruh rakyat Melaka khususnya pengundi agar menolak kempen biadab dan kurang ajar seperti ini kerana secara tidak langsung menperlekehkan rakyat Melaka yang terkenal dengan sikap budi bahasa dan adab yang tinggi, katanya.
Discussion about this post