Pandemik Covid-19 yang melanda negara sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Kerajaan telah menjadikan rakyat kini sedang menjalani kehidupan harian secara norma baharu termasuklah dengan cara berurusan dengan orang luar samada untuk berbelanja, memesan makanan mahupun berhubungan dengan insan tersayang ketika berjauhan hanya dengan menggunakan aplikasi secara dalam talian.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong baru-baru ini telah hadir ke majlis rasmi bagi menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Five Petroleum Malaysia, Aco Tech, dan FassPay yang bertempat di Boathouse, Tasik Ampang berikutan perkembangan teknologi yang berlaku di negara ini telah berkembang dengan pantas sekaligus memberi banyak manfaat kepada pengguna di samping membuka peluang pekerjaan baharu kepada pasaran gig ekonomi.
“Majlis ini bukan sahaja membuktikan kejayaan pemain-pemain industri seperti Aco Tech, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam dunia automotif negara. Dalam era data besar (big data) ketika ini, kita dapat menggunakan maklumat yang diperoleh daripada aplikasi seperti ATLAS Auto Aco Tech yang menghubungkan multimedia, e-dagang dan pemantauan keadaan kenderaan.
“Maklumat seperti ini juga berguna untuk penyiasatan berkaitan kenderaan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan menyelenggara kenderaan dengan betul,” kata Wee Ka Siong menerusi posting di Facebooknya.
Dalam masa yang sama, Ka Siong berkongsi harapannya untuk melihat kepesatan teknologi dalam negara yang berlaku dapat menjadikan syarikat-syarikat tempatan pelbagai sektor mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau juga meminta agar mereka saling berkongsi kepakaran dalam usaha untuk membangunkan dan menggabungkan teknologi untuk meningkatkan keselamatan serta kualiti hidup yang memberi manfaat kepada pemandu di Malaysia.
“Apa yang pasti, ia selari dengan inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam aspek pendigitalan, menuju kelestarian dan menyokong ekonomi yang kompetitif demi kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya. Infrastruktur digital yang dibina ini sesuatu yang berpotensi dalam menyokong usaha-usaha kerajaan, sektor pengangkutan awam dan juga ekonomi tempatan,” tegas beliau lagi.
Turut hadir majlis menandatangi MoU tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Five Petroleum Malaysia, Datuk Sri Dr. Lim Chin Fui, CEO Proton, Dr. Li Chunrong dan Timbalannya, Encik Roslan Bin Abdullah, CEO UOB Malaysia, saudari Ng Wei Wei, CEO Fasspay, Encik Chris Leong dan CEO Huawei Malaysia, Encik Michael Yuan.
Discussion about this post