Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan persetujuannya mengenai kata sepakat yang dicapai oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi Mesyuarat MKT UMNO semalam.
“Mewakili seluruh ahli UMNO Bahagian Kepala Batas, kebijaksanaan muafakat yang dicapai oleh pimpinan tertinggi ini merupakan azimat penting untuk UMNO memperoleh mandat penuh rakyat menjelang PRU-15 akan datang,” tulis Reezal melalui posting Facebooknya.
Menurut Reezal, keputusan sebulat suara MKT UMNI yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri merupakan mesej dan petanda jelas UMNO yang sudahpun mencapai tahap solidariti yang kukuh dalam persediaan menghadapi PRU-15 kelak.
Dalam masa yang sama, beliau berpendapat keputusan muktamad MKT UMNO dapat memberikan peluang kepada Ismail untuk merencana agenda dan memenangi hati rakyat dalam masa terdekat.
Selain daripada itu, Ismail juga mempunyai ruang untuk usahakan reformasi dan sekaligus dapat menyusun transformasi politik dengan lebih bersedia, kemas dan tersusun.
“Keputusan ini pastinya akan mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malahan memperkukuh perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia,” tulisnya lagi.
Discussion about this post