Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak henti-henti menyeru nama Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Terkini, Muhyiddin ketika berceramah politik mendakwa beliau tidak pernah berniat menjadi Perdana Menteri selepas kerajaan fitnah Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Beliau mendakwa pula Ahmad Zahid menyokongnya menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan lalu dia pun boleh diangkat sebagai Perdana Menteri.
Menurut Ahmad Zahid, tetapi Muhyiddin tidak pula memberitahu bagaimana proksi-prokasinya berusaha gigih memujuk wakil rakyat bukan PH termasuk daripada UMNO agar menyokongnya jadi Perdana Menteri.
“Menjanjikan sebuah perpaduan yang jujur dan ikhlas atas nama Melayu dan Islam, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dengan kuasa sebagai Perdana Menteri.
“Mahu memperkukuhkan kedudukan partinya dan jawatannya dengan cuba melemahkan UMNO serta ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO,” katanya.
Beliau berkata, mungkin kerana itu Muhyiddin begitu marah kepadanya, pimpinan serta ahli akar umbi UMNO kerana dapat menghidu muslihat beliau dan bertindak.
“Mari kita fikir sejenak apakah seseorang yang mengaku dirinya tidak pernah berhasrat menjadi Perdana Menteri akan cuba ‘menyogok’ Ahli Parlimen secara terbuka di kaca televisyen supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri gara-gara terdesak?
“Apakah seseorang yang tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri dalam kata-kata terakhir kepada pegawai-pegawainya di Putrajaya membayangkan dia akan kembali sebagai Perdana Menteri?
“Apakah seseorang yang tidak pernah mahu menjadi Perdana Menteri dalam ceramah politiknya sempena PRN Johor menyatakan kemungkinan dia akan menjadi Perdana Menteri sekali lagi?,” katanya.
Tambah beliau lagi, Muhyiddin turut mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tinggalkan PH kerana dalamnya ada DAP yang tidak menyokong dasar-dasar dan hak keistimewaan orang Melayu serta agama Islam.
“Kenyataan itu agak sukar dihadam kerana dia dan Bersatu bersama DAP bukan cuma selama 22 bulan, malah saling bermesraan sejak Mac 2017 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan pada 9 Mei 2018.
“Apa yang pasti PPBM hanya keluar PH selepas kekalahan demi kekalahan PH dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) terutama kekalahan calon Bersatu pada PRK Semenyih dan Tanjung Piai,” katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat Johor yang akan mengundi pada PRN Johor pada 12 Mac ini perlu berhati-hati dengan kepakaran putar belit pembangkang yang sudah terbukti sejak PRU14.
“Saya sebolehnya tidak mahu mengulas tentang beliau (Muhyiddin) kerana kita ada agenda yang lebih penting.
“Agenda penting kita bersama rakyat Johor untuk memastikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan dikembalikan di Johor pada 12 Mac ini,” katanya.
Discussion about this post