Isu penjualan atau penyerahan atau penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan MySejahtera kepada pihak ketiga yang menjadi bualan hangat baru-baru ini mula membuat rakyat gelisah dan tertanya-tanya.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata yang menjadi persoalan dan pertikaian ramai, adakah data dan maklumat peribadi jutaan rakyat Malaysia kini berada dalam kawalan dan pemilikan pihak swasta yang berorientasikan perniagaan atau keuntungan?
Soal beliau, jika benar, mengapakah perkara ini tidak dimaklumkan oleh Kerajaan sejak awal?
“Pada saya, kegelisahan dan asakan pertanyaan oleh masyarakat kepada Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sesuatu yang munasabah dan berasas.
“Ia bukan kepanikan yang dibuat-buat atau dibesar-besarkan tanpa sebab. Ia melibatkan masyarakat awam secara langsung,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Ahmad Zahid, bagi meleraikan kekeliruan dan kegelisahan ini, adalah penting untuk pihak yang terlibat, khususnya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk membuat penjelasan terperinci, terbuka dan telus kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Perkara ini mesti diterangkan dengan cara yang menghilangkan keraguan dan spekulasi yang sedang menular.
“Bukan sekadar kenyataan media satu muka surat. Perlu ada sesi penjelasan yang khusus,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberikan beberapa cadangan bagi menyelesaikan permasalahan ini.
“Pertama, data yang dikutip dan diuruskan selama 2 tahun ini adalah terlalu banyak dan melibatkan masyarakat awam secara menyeluruh.
“Kedua, pemberian data selama ini adalah atas anggapan yang ia diuruskan oleh kerajaan. Malah, berlaku satu misrepresentation dalam hal ini.
“Ketiga, ia boleh menyebabkan kehilangan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan aplikasi ini. Impaknya, ramai yang akan mula untuk tidak merekodkan maklumat seperti yang sepatutnya. Perkara ini sudah tentulah menyukarkan proses pemantauan dan pengumpulan maklumat,” katanya.
Kesemua perkara itu menuntut agar penjelasan dan penerangan yang terperinci dibuat secara bertanggungjawab.
“Secara peribadi, saya percaya, wujud situasi yang mewajarkan kerajaan untuk menyerahkan pengurusan sesuatu perkara kepada pihak swasta atau entiti bukan kerajaan atas pelbagai alasan seperti kekurangan sumber dan tahap kecekapan yang lebih baik.
“Tetapi perkara tersebut mestilah dilakukan dengan ketelusan dan disclosure yang selengkapnya,” tambah beliau.
Ahmad Zahid berharap perkara ini akan diuruskan dengan baik oleh pihak kerajaan.
“UMNO adalah parti yang melihat suara rakyat sebagai asas kepada semua dasar dan tindakan kerajaan. Dan suara ini tidak boleh dikesampingkan sama sekali,” katanya.
Discussion about this post