Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak menyarankan kerajaan supaya melaksanakan langkah-langkah drastik seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selain bergantung pengambilan suntikan vaksin, bagi memperkasakan lagi pencegahan penularan Covid-19.
Jelas beliau, vaksin itu amat penting dan ianya merupakan satu-satunya jalan untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok dan bebas Covid-19.
“Justeru, vaksin ini berkesan sebab mereka yang terjangkit walaupun selesai divaksin tidak akan mengalami gejala yang lebih serius berbanding mereka yang belum divaksin. Slogan “lindung diri, lindung sendiri” adalah amat tepat sekali.
“Bagaimanapun, seperti kelihatan dalam graf-graf, peratusan penduduk divaksin yang lebih tinggi pada kadar 50 peratus tidak bermakna kes baharu Covid akan turun mendadak dengan serta-merta seperti dilihat di beberapa negara barat.
“Malah, ada negara yang catat kes baharu lebih tinggi walaupun jumlah divaksin sudah agak tinggi pada kadar 50 peratus penduduk sudah diberi vaksin – terutamanya di negara-negara yang gunakan pelbagai jenama vaksin seperti Malaysia berbanding negara-negara barat yang hanya gunakan vaksin dari satu atau dua jenis jenama tertentu,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada ketika ini, jumlah peratus penduduk Malaysia divaksin agak rendah sekitar empat peratus namun kadar vaksinasi negara sudah meningkat dengan ketara iaitu 75,215 dos sehari sejak dua minggu lepas dan ianya satu perkembangan yang bagus.
Jelasnya, sekiranya negara kita mencapai sasaran kadar vaksinasi tertinggi pada 160,000 dos sehari, dan ianya akan mengambil masa enam bulan lagi untuk mencapai paras sekitar 50 peratus penduduk untuk selesai divaksinkan.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, mesej utama yang ingin beliau sampaikan kepada kerajaan adalah jangan bergantung pada vaksin sahaja sekiranya matlamat negara untuk meredakan keadaan Covid-19 di Malaysia dalam tempoh masa yang singkat.
“Ia kerana langkah itu mungkin memerlukan tempoh masa yang masih agak panjang sebelum keadaan Covid menunjukkan trend penurunan yang ketara.
“Jadi, program vaksinasi negara masih perlu dipadankan dengan langkah-langkah drastik lain seperti full lockdown seketika untuk memberi ruang nafas kepada sistem kesihatan dan front-liners kita yang sudah amat kritikal ketika ini,” jelasnya
Discussion about this post