Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad hadir ke Istana Kehakiman bagi mengikuti semakan kehakiman perbicaraan kes SRC Datuk Seri Najib Razak, pagi tadi.
Tegas beliau, Najib wajar mendapatkan perbicaraan yang adil apabila bekas Perdana Menteri itu melalui detik hitam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 yang lalu.
“Sebelum dan selepas PRU15, UMNO menegaskan bahawa Datuk Seri Najib wajib mendapat perbicaraan yang adil. Penegasan ini adalah kerana terdapat beberapa kepincangan.
“Terutama di peringkat Ketua Hakim Negara yang mengetuai barisan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan,” kata Shahrir menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan UMNO turut menilai kedudukan Hakim Perbicaraan di Mahkamah Tinggi merupakan satu kekurangan yang ketara.
Hal ini kerana, Hakimnya, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali antara nama yang berada dalam senarai siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pendek kata, pendirian UMNO sehingga kini adalah Datuk Seri Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Datuk Seri Najib, dalam bahasa yang mudah, dinafikan haknya sebagai seorang warga Malaysia dibawah Perlembagaan Malaysia,” tambahnya lagi.
Discussion about this post