Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru kepada pengundi yang belum menunaikan tangungjawab untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, rakyat Melaka perlu keluar untuk mengundi pada hari ini untuk memastikan masa depan dan pembangunan negeri tersebut terjamin.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada semua pengundi Melaka yang menunaikan kewajipan mengundi pagi tadi. Kepada yang belum, ayuh keluar mengundi.
“Pastikan masa depan dan pembangunan Melaka terjamin,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada hari ini.
Setakat jam 2 petang tengah hari, sebanyak 50 peratus daripada 476,037 rakyat Melaka yang layak mengundi telah menunaikan kewajipan masing-masing.
Statistik berkenaan dikeluarkan oleh Sistem Peratus Pengundi Keluar Mengundi (SPEKMu) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Untuk PRN Melaka, sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran telah dibuka di seluruh negeri bermula jam 8 pagi tadi.
Proses pengundian akan berakhir pada jam 5.30 petang ini dan keputusan dijangka diumumkan pada jam 10 malam.
Discussion about this post