Nasib 30 rumah penduduk di Kampung Sungai Badau, Paya Rumput bakal berubah apabila masalah banjir yang sering membelenggu kehidupan mereka setiap kali hujan akan diatasi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penduduk kawasan berkenaan menghadapi masalah kerana longkang dan saliran air yang tidak mampu menampung limpahan air setiap kali hujan.
“Saya terus berhubung dengan Pengarah KPLB negeri Melaka untuk mengambil tindakan segera membersih dan membesarkan longkang.
“Masalah utamanya adalah tidak ada penyelenggaraan berkala sehingga menyebabkan longkang tersumbat dan dipenuhi tumbuhan,” katanya.
Mahdzir bersama-sama dengan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin meninjau masalah banjir di kawasan berkenaan.
Menurut Rais, Mahdzir mengambil maklum mengenai masalah tersebut dan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan bertindak.
“Bertuahnya kita penduduk DUN Paya Rumput kerana menerima kehadiran Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar yang turun padang menyingkap isu rakyat.
“Saya telah menunjukkan kepada menteri kawasan banjir sekitar DUN Paya Rumput. Saya juga mengangkat suara rakyat yang mahukan isu banjir diselesaikan segera.
“Syukur, Menteri ambil maklum dan akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan bertindak,” katanya lagi.
Discussion about this post