Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang sebagai seorang menteri yang biadap dan tidak memahami konsep Raja Berperlembagaan.
Bidasnya, ini juga antara penyebab pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi kelam-kabut.
“Kalau urusan dengan pihak Istana pun tak faham bagaimana nak uruskan masalah rakyat menghadapi pandemik COVID-19?
“Ini menyebabkan rakyat marah dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pula melahirkan rasa dukacita kepada kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dilaporkan, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR yang kini melompat ke PPBM melalui satu program bual bicara pada Isnin baru-baru ini mendakwa kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung pembatalan Ordinan Darurat tidak wajar kerana YDPA perlu menurut nasihat dan boleh mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.
Maka tegas Noh lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor berkata bahawa tindakan UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin adalah satu tindakan yang betul.
Discussion about this post