Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan berkompromi dengan prinsip ketelusan dalam menjalankan peranannya dan pada masa sama menjaga kepentingan negara serta menghormati perjanjian yang sudah dimeterai.
Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata secara keseluruhannya PAC Parlimen berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung isu perolehan dan penggunaan vaksin COVID-19.
“Prosiding ini adalah selari dengan hasrat PAC dalam memastikan perbelanjaan kerajaan benar-benar telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.
“Pada masa sama, PAC juga mengambil maklum mengenai terdapatnya perjanjian kerahsiaan (NDA) antara kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Prosiding itu dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan KSU MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.
Kah Wong berkata, secara amnya, NDA tidak sewajarnya mengekang tugas dan peranan PAC.
“Bagaimanapun, dalam perkara ini, PAC akan mengimbangi antara peranan PAC dalam melaksanakan penelitian legislatif dengan peruntukan NDA dalam perjanjian komersial sedia ada untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pelanggaran perjanjian,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, PAC Parlimen akan mengadakan mesyuarat khas bersama MOSTI dan KKM sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat dalam memastikan segala syarat perjanjian berkenaan dipatuhi.
“PAC Parlimen komited untuk membantu memberikan keyakinan kepada rakyat dalam mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya penularan wabak ini dapat dihentikan,” katanya.
Discussion about this post