Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan baru-baru ini antaranya membincangkan isu-isu yang dekat dengan rakyat berikutan ketika ini ramai rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang yang mendadak.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki memberi pendapat agar Pakej Bantuan Khas perlu diperluaskan kepada sebahagian golongan M40 selain daripada golongan B40.
“Pakej Bantuan Khas Kerajaan juga diharapkan bukan hanya kepada golongan B40 tetapi diperluaskan kepada sebahagian besar M40 yang hakikatnya terkesan dengan kenaikan kos yang mendadak,” kata Asyraf Wajdi menerusi posting di Facebooknya.
Dalam masa yang sama, beliau meminta agar Kerajaan melakukan tindakan intervensi dengan segera secara holistik dalam isu ayam termasuklah dengan penubuhan Lembaga Unggas Negara yang mempunyai kemampuan untuk menangani daripada pihak kartel berkuasa.
Hal ini kerana, pihak kartel merupakan pihak yang seringkali memanipulasi harga dan bekalan ayam termasuk juga dengan bekalan dedak yang mengakibatkan harga ayam menjadi tidak stabil.
Asyraf Wajdi ketika ini menjadi individu yang mengambil inisiatif untuk mendekati petani dan peniaga yang berskala kecil dengan mengadakan pertemuan dengan mereka secara dua mata disamping mendengar keluh kesah daripada mereka mengenai isu kenaikan harga ayam.
Discussion about this post