Seharusnya mana-mana penganalisis politik yang ingin membuat ulasan mengenai apa jua isu semasa seharusnya mengikuti dari awal barulah boleh mendapat gambaran secara keseluruhan.
Tegas Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah jika analisa hanya dibuat dengan berpandukan kepada laporan media semata-mata ulasan tersebut dibimbangi akan jauh tersasar dan langsung tidak tepat.
“Saya kerap juga mendengar dan membaca ulasan politik yang dibuat oleh Dr Muhammad Tawfik Yaakub. Kali ini sekali lagi ulasannya jauh tersasar dan tidak tepat.
“Justeru, sebagai penganalisis beliau sepatutnya mengikuti secara menyeluruh Persidangan Agung UMNO 2021. Mendengar setiap perbahasan yang dikemukakan dan tidak boleh hanya mendapat maklumat daripada laporan media semata.
“Bila mana mengikuti dengan dekat secara menyeluruh baru barulah mengetahui keadaan sebenar dan ulasan yang diberikan barulah adil serta tepat,” katanya menerusi posting di Facebooknya baru-baru ini.
Tambah Shamsul lagi, seperti yang diketahui umum Perhimpunan Agung UMNO bukan sahaja membincangkan isu politik sebaliknya ia menjadi pentas kepada parti itu dalam memperjuangkan isu agama, pendidikan dan hal membabitkan kepentingan negara serta rakyat.
“UMNO adalah parti yang sejak awal penubuhannya lagi berjuang untuk kepentingan negara dan rakyat.
“Banyak perkara yang dibincangkan oleh pembahas dan tidak hanya soal politik. Wakil UMNO Sabah misalnya bercakap soal isu dan masalah rakyat Sabah berkaitan bekalan, air, elektrik dan jalan raya yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Malah banyak perkara berkaitan ekonomi, reform institusi penting negara, kebajikan rakyat, kesihatan , soal memperkukuhkan parti, dan lain lain turun disentuh oleh pembahas,” ujarnya lagi.
Malah katanya ucapan dasar Presiden, ucapan perasmian Sayap oleh Timbalan Presiden dan ucapan dasar ketua-ketua sayap turut menyentuh pelbagai isu semasa.
Sehubungan itu apa yang diulas oleh penganalisis politik kononnya ia satu platform untuk mendesak perdana menteri bubar Parlimen adalah tidak benar sama sekali.
“Ucapan dasar Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO serta Puteri UMNO Malaysia menyentuh pelbagai isu dan sebahagiannya dijawab oleh Perdana Memteri.
“Ini bermakna pelbagai soal rakyat kita bincangkan. Jadi mengatakan PAU2021 hanya ‘sibuk tekan Perdana Menteri bubar Parlimen’ ADALAH TIDAK TEPAT,” katanya.
Discussion about this post