KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Parlimen wajar bersidang paling kurang sebanyak 20 hari untuk membahaskan banyak perkara mengenai COVID-19 dan juga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Perkara demikian antara tiga cadangan yang dilontarkan oleh Ahmad di Twitternya merujuk kepada kenyataan media Pejabat Perdana Menteri hari ini yang berkata persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.
Tambah Setiausaha Agung UMNO itu lagi, Ordinan-ordinan Darurat juga wajar diperbahaskan dan bukan hanya dibentang serta diletak di atas meja sahaja.
Beliau merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lalu agar persidangan Parlimen secepat mungkin diadakan bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Selain itu, beliau juga konsisten menggesa agar diadakan persidangan secara bersemuka dan bukan hibrid.
“Sidang cara bersemuka bukan hibrid sebab ahli Parlimen dan sebahagian staf sudah divaksinasi,” twitnya.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
Selain itu, kenyataan itu juga memaklumkan berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
Berhubung dengan RMK-12, terdahulu Ahmad pernah membangkitkannya pada bulan Mac lalu bahawa RMK-12 merupakan antara satu sebab besar mengapa Parlimen perlu segera bersidang.
Katanya, RMK-11 telah berakhir pada pada tahun lepas (2016-2020) dan ini seharusnya diikuti RMK-12 bermula pada tahun ini (2021-2025).
Discussion about this post