Barisan Nasional (BN) bersedia menangkis segala serangan parti lawan yang menggunakan strategi pembunuhan karakter dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun strategi itu sedang giat dimainkan parti lawan namun yakin pengundi telah menetapkan di dalam minda mereka akan memilih BN pada hari pengundian.
“Ia sedang berlaku, tetapi kita dah bersiap sedia, saya yakin BN akan membentuk semula kerajaan negeri di Melaka,” kata di Lendu semalam.
Ditanya berapa peratus keyakinan BN akan membentuk kerajaan negeri, Zahid berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran namun memadai melepasi garisan untuk membentuk kerajaan negeri ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kempen BN yang tidak memaparkan wajahnya di poster atau papan iklan, Zahid berkata beliau sendiri yang meminta kaedah itu digunakan.
“Sengaja saya meminta agar wajah saya tidak dipaparkan, itu kaedah konvensional, tetapi kita lebih menekankan kaedah di luar kotak iaitu memaparkan calon dan bukan pemimpin,” katanya yang juga Presiden Umno.
BN bertanding di 28 DUN dengan Umno meletakkan calon di 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka hari ini berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.
Discussion about this post