1. Saya tertarik untuk mengulas kenyataan YAB Menteri Besar Kedah bahawa kestabilan politik boleh dicapai sekiranya UMNO tidak lagi memerintah.
2. Kenyataan tersebut bukan sahaja liar dan kasar, namun menggambarkan dengan jelas akan persepsi dan pandangan PAS pada UMNO, yang sekali gus boleh menjadi penanda aras kedudukan semasa Muafakat Nasional. Pada PAS (Kedah), UMNO bukanlah rakan yang mereka hormati.
3. Saya ingin terlebih dahulu mengajak YAB Menteri Besar Kedah untuk kembali bersama-sama berpesan pada diri kita. Sesungguhnya, tidak ada kerajaan angkuh yang selamat.
4. Fir’aun, Thamud, A’ad hatta Raja Namrud adalah nama-nama kaum dan pemerintah besar dari kerajaan yang besar pada zaman dahulu. Mereka bijak, hebat dan kuat. Namun keangkuhan dan kesombongan telah menjatuhkan mereka. Sebesar-besar dan sehebat-hebat raja dan kerajaan, Raja Namrud itu akhirnya diuji dan tewas dengan sekecil-kecil makhluk seperti nyamuk.
5. Selayaknya kita dalam dunia moden mengambil pengajaran. Baik UMNO, mahupun PAS, malah sesiapa sahaja. Janganlah kita sombong dengan kedudukan kita. Merendah-rendahkan orang lain. Lebih teruk, merendah-merendahkan mereka yang sebenarnya menjadi penyangga yang menopang kita berdiri. Yang demikian sangat angkuh dan sombong.
6. Kedua, kerajaan Kedah stabil kerana UMNO berlapang dada.
7. Saya tidak pasti bagaimana untuk menggambarkan perkara ini. Sama ada terlupa, atau berpura-pura lupa.
8. Kerajaan PAS di Kedah itu terbentuk dengan sokongan UMNO. Malah, dalam kebanyakan kerajaan sama ada di peringkat pusat dan negeri, UMNO adalah entiti yang sama-sama membentuk Kerajaan.
9. Benar, tanpa UMNO masih ada kerajaan di sesetengah negeri akan kekal memerintah. Namun, untuk menyatakan bahawa tanpa UMNO, semua kerajaan ini dan politik kita akan lebih stabil, adalah tidak berasas dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
10. Saya harap YAB Menteri Besar melihat kembali keadaan ini, dengan berdasarkan fakta dan realiti semasa. Bukannya dipandu oleh emosi yang dilampiaskan sesedap rasa menjelang musim pilihanraya.
11. Ketiga, UMNO Kedah mesti menilai semula hubungannya bersama PAS.
12. Berdasarkan kedudukan ini, saya percaya wujud keperluan untuk UMNO Kedah menilai semula hubungannya dengan PAS. Adalah tidak produktif jika kita terus menerus cuba berpura-pura bahawa kita boleh bekerjasama, sedangkan yang terlihat saban hari adalah kerapuhan demi kerapuhan yang seakan tidak boleh diselamatkan.
13. Kedua-dua parti ini harus tegas dan jelas dalam pendirian masing-masing. Jika ingin memilih haluan berbeza, nyatakan. Jika terus mahu bekerjasama, berperangailah dengan cara yang menggambarkan niat tersebut, dan bukan sebaliknya. Bukan terus bermusuh, berhujah ibarat gelegar buluh.
14. PAS harus berhenti berlagak sombong. Dan UMNO mesti berani mengambil ketetapan bermaruah. Secara peribadi, saya tidak melihat wujud potensi dan masa depan yang baik dari kedudukan dan hubungan sedia ada. Pada pandangan pemimpin kecil spt saya, UMNO Kedah seharusnya buat keputusan sekarang, dan keangkuhan Menteri Besar perlu diberi pengajaran yg setimpal.
Dato Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Ketua Bahagian UMNO Merbok
Discussion about this post