Parti Bersatu Rakyat Sabah ( PBRS) memohon pihak berwajib untuk menyegerakan suntikan vaksin kepada peniaga dan penjaja di pasar-pasar di seluruh Negeri Sabah.
Ketua Bahagian PBRS Matunggong, Richard Kastum yang telah turun ke Pasar Sikuati untuk membuat tinjauan status vaksinasi para penjaja di pasar dan mendapati 75% penjaja masih belum menerima vaksinasi sehingga ke hari ini. Kebanyakan mereka telah membuat pendaftaran awal.
Dengan itu, Ketua Bahagian berasa amat bimbang mengenai keselamatan dan risiko jangkitan yang dihadapi oleh para penjaja. Kebajikan serta keselamatan golongan ini perlu diberi perhatian kerana mereka adalah dianggap sebagai ‘barisan hadapan’ ekonomi yang berurusan dengan orang ramai setiap hari untuk memberi khidmat bekalan, penjualan makanan serta keperluan harian kepada masyarakat.
Vaksinasi bukan saja dapat membantu usaha mewujudkan imuniti komuniti kelompok seperti disasarkan, malah dapat menghindari golongan ini daripada risiko jangkitan seterusnya membantu menghentikan penularan pandemik. Kita mahu mereka terus berkeupayaan untuk menjana pendapatan dan tidak mahu urusan perniagaan mereka tergendala.
PBRS mengambil inisiatif untuk membawa isu tersebut supaya perkara ini diberi perhatian dan tindakan secepat mungkin.
Serentak tinjauan tersebut, Richard turut menyumbangkan pengimbas suhu dan face mask kepada penjaja.
Discussion about this post