Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Husein di atas pelantikan sebagai Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.
Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup berkata, YB Dato’ Seri Hishammuddin merupakan seorang yang sangat berpengalaman dengan rekod pencapaian yang tinggi serta pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan sekarang dilantik sebagai Menteri Luar Malaysia.
“Kami yakin dengan pelantikan Dato’ Seri Hishammuddin sebagai Bendahari Agung BN dan ianya merupakan suatu perkembangan positif bagi Barisan Nasional yang sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional”.
“Kita semua masih ingat bagaimana beliau menunjukkan kepimpinan dalam menguruskan krisis MH370 pada tahun 2014 yang menggemparkan negara. Selain itu, semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan, beliau merupakan individu yang memperkenalkan elaun kesusahan kepada guru-guru yang bertugas di kawasan luar bandar. Beliau juga telah banyak menyumbang kepada pasukan keselamatan dan pertahanan semasa menjadi Menteri Pertahanan”.
Tambahnya lagi, pelantikan YB Dato’ Seri Hishammuddin telah membuktikan bahawa BN sentiasa memandang ke hadapan dengan mengemukakan kepimimpinan yang terbaik untuk negara walaupun kita sedang menghadapi pandemik global dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Pada tadi, Pengerusi BN YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi telah mengumumkan pelantikan YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Husein sebagai Bendahari Agung BN sebagai langkah untuk memperkukuhkan struktur organisasi Barisan Nasional setelah berunding dengan Presiden-Presiden Parti dalam Komponen BN.
Dalam pada itu, Presiden PBRS juga menyeru kepada semua pihak untuk terus bekerjasama dan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri untuk menerajui negara ini katanya lagi
Discussion about this post