Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan punca sebenar integriti badan kehakiman negara dipersoalkan, kata Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.
Jelasnya, ketika menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Tun M tidak mempedulikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Pelantikan ahli JAC oleh Perdana Menteri (PM) bukan masalahnya. Maaf ye.
“Masalahnya ialah apabila Dr Mahathir selaku PM tidak langsung kisah tentang JAC. Malah terus menyembahkan nama-nama mereka yang tidak pun diputuskan oleh JAC,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim tinggi semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan, membuktikan bahawa Tun M telah melanggar undang-undang dan demikian menyalahguna kuasanya.
“Ini telah diceritakan oleh Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) dalam bukunya itu.
“Bukankah soal pelantikan ahli JAC ini hanya hendak mengalihkan perhatian daripada masalah sebenarnya?” soalnya.
Pada Rabu, Tuanku Muhriz yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, bertitah mencadangkan pelantikan lima daripada sembilan ahli JAC tidak lagi dilakukan Perdana Menteri.
Sebaliknya, titah baginda, pelantikan itu diberi kepada beberapa institusi lain, seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Discussion about this post