Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa sedih, simpati dan kecewa terhadap seorang peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan yang dikompaun RM50,000 pada jam 11.20 malam semalam.
Berdasarkan portal Malaysia Kini, kompaun berkenaan dikenakan kerana peniaga didakwa beroperasi melebihi jam 10 malam ketika Kelantan melaksanakan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.
“Saya tertanya-tanya adakah burger yang dijual peniaga berharga RM300 sebiji sehingga menyebabkan dia dikompaun sebegitu banyak”
“Berdasarkan pengakuan peniaga, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, dia sekadar beroperasi di hadapan rumah. Dan ketika itu tiada seorang pun pelanggan.” kata beliau di hantaran Facebooknya pagi ini.
Tambah beliau lagi, peniaga berkenaan mengakui bahawa kedai belum ditutup pada ketika itu namun, dia hanya berseorangan tanpa seorang pelangan dan meja pun tidak dibuka untuk kehadiran pelanggan.
“Peniaga hanya menyiapkan pesanan burger yang akan dihantar ke kilang berdekatan” katanya.
Dalam hantaran Facebook itu, Zahid turut menyatakan agar pihak berkuasa melaksanakan kompaun dengan memikirkan kemampuan individu yang hendak dikompaun terlebih dahulu.
“Saya terfikir bagaimana peniaga mahu membayar kompaun sedangkan berniaga burger itu sahaja pekerjaan yang dilakukannya. Kenapa pihak berkuasa sekejam itu? Lagipun dalam situasi PKP di Kelantan apa lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan ditambah pula tempoh masa yang terhad.”
“Ukurlah kemampuannya. Saya pelik apabila melibatkan rakyat marhaen kerajaan tidak bercakap banyak dan terus memberikan kompaun. Apabila melibatkan golongan kayangan atau artis berkahwin, pelbagai alasan diberikan.” Katanya.
Bukan itu sahaja, golongan kayangan dan artis secara jelas melakukan pelanggaran SOP tetapi tindakan amat lambat dilaksanakan.
Di samping itu, pengerusi Barisan Nasional itu turut mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno Kelantan yang tampil menawarkan bantuan guaman untuk membantu Wan Mohd Faisal bagi rayuan pengurangan kompaun yang dikenakan.
Discussion about this post