Parti pembangkang tidak mahu mengumumkan siapa calon Menteri Besar mereka bukan kerana takut, tetapi tiada calon yang layak memikul jawatan berkenaan.
Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ekoran tiada pemimpin yang layak, parti-parti tersebut enggan mengambil ‘risiko’ untuk menamakan calon Menteri Besar daripada parti mereka.
“Berbanding Barisan Nasional (BN), kita ada Datuk (Seri) Hasni yang sudah terbukti berjaya memimpin negeri ini dengan baik.
“Sejak menerajui Johor kira-kira dua tahun lalu, pelbagai usaha telah dibawa dan dilaksanakan Datuk Hasni untuk membantu rakyat, khususnya dalam membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Menurutnya, Dr. Maszlee Malik calon PKR di DUN Layang-Layang yang dikatakan bakal dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini juga tidak berkemampuan memegang jawatan tersebut.
“Maszlee sebelum ini beri pelbagai janji. Apa yang beliau dapat tunaikan di Simpang Renggam?
“Yang ada hanya kasut hitam,” katanya.
Justeru, beliau berharap pengundi, khususnya di DUN Machap tidak terpedaya dengan janji-janji manis parti pembangkang.
“Saya ingin mengingatkan supaya rakyat Johor tidak mudah termakan janji manis mereka. Mereka memang pandai menanam tebu di bibir,” katanya.
Discussion about this post