Banyak idea asal pembangunan di Johor ini adalah daripada pimpinan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun pembangkang tidak habis-habis ‘claim’ mereka yang usahakan.
Menurutnya, misalnya idea projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dimulakan pada zaman BN namun terhenti ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.
“Mereka (pembangkang) cakap tidak serupa bikin. Tiada berprinsip dalam soal pembangunan. HSR itu kita sudah jelaskan mahu buat dari Singapura ke Kuala Lumpur.
“Tetapi, pembangkang pula nak hidupkan semula dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan ini semua fikiran yang tidak berprinsip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Diskusi Johor Kestabilan Masa Depan yang bertajuk Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara Live dalam BN Comms.
Ahmad berkata, BN memilih Singapura disebabkan negara itu menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
“Mereka (pelancong) berkumpul di Singapura boleh singgah ke Batu Pahat dan semakin berkembang bandar Batu Pahat dan sekitarnya.
“Kemudian Muar dan Iskandar Puteri dan segala servis dan perkhidmatan pula di Pontian.
“Mereka melihat kehebatan perkara itu dan cuba tumpang idea kita. Saya dah kata mereka tiada idea original untuk Johor,” katanya.
Beliau berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, menteri-menteri UMNO yang berusaha keras untuk mengekang penularan wabak ini.
“Ahli Parlimen UMNO pada ketika itu yang membantu menguruskan Covid-19 ini, buat kerja itu dan ini. Kami yang kerja keras.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdana Menteri) ketika itu hari-hari keluar televisyen. Kita sudah buat vaksin, pasal vaksinpun mereka ‘claim’ mereka yang buat,” katanya.
Tambah beliau, Datuk Seri Dr Adham Baba yang ketika itu menjadi Menteri Kesihatan yang menguruskan segala prosedur operasi standart (SOP).
“Khairy Jamaludin pula dalam Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang uruskan vaksin.
“Kemudian pertukaran Menteri Kesihatan dan Mosti. Mana menteri-menteri mereka? Menteri-menteri mereka berada di kementerian yang mudah,” katanya.
Berikutan itu, beliau mahu menjelaskan perkara ini kepada rakyat Johor supaya mereka tidak keliru dan memilih BN untuk memerintah Johor dalam PRN Johor Sabtu ini.
Discussion about this post