Cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan Permit Kerja Sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh asing di sektor perladangan dan perindustrian di negara ini perlu kajian menyeluruh.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, berkata Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu untuk bekerja di sektor berkenaan. Ia kerana, akibat daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara kita telah menyebabkan ramai rakyat tempatan, khususnya golongan muda kehilangan pekerjaan.
“Ada dikalangan mereka yang terpaksa pulang ke kampung mengusahakan tanah terbiar, ada juga yang bekerja sebagai penghantar makanan, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya semata-mata untuk mencari sumber pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup demi menyara keluarga atau diri sendiri”.
“Menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos 2020, kadar pengangguran di Malaysia adalah sebanyak 741,600 ribu orang atau 4.7 peratus. Ini menunjukkan kadar pengangguran yang agak tinggi dan bererti ramai rakyat tempatan sedang mencari peluang pekerjaan”.
“Justeru, Kerajaan perlu melihat kepada angka-angka ini dengan memberi keutamaan kepada mereka untuk bekerja di sektor berkenaan. Jangan kita anggap mereka (rakyat) tidak mahu bekerja kalau kita tidak tawarkan peluang pekerjaan ini kepada mereka”.
“Jika peluang pekerjaan tersebut diberikan kepada rakyat tempatan, secara tidak langsung akan membantu memulihkan kembali ekonomi negara kita. Bila ada pekerjaan, rakyat akan ada pendapatan. Bila ada pendapatan rakyat akan berbelanja”.
“Peluang pekerjaan dalam sektor perladangan dan perindustrian juga perlu dinaik taraf supaya sektor ini dapat menarik minat golongan belia untuk menyertainya sekaligus akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Apabila peluang pekerjaan ini diisi oleh rakyat tempatan maka kita dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan wang itu boleh terus kekal dalam negara untuk merangsang ekonomi”.
Tambahnya lagi, tawaran kepada warga asing patut menjadi pilihan paling terakhir jika rakyat tempatan tidak dapat mengisi peluang pekerjaan di sektor perladangan dan perindustrian. Namun tawaran tersebut, perlu disusuli dengan langkah-langkah dan prosuder yang ketat supaya ianya tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata PBRS yang merupakan sebahagian daripada wakil dalam Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memastikan keutamaan peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan terutamanya di Negeri Sabah.
Kita tetap konsisten dan akan pastikan Kerajaan Persekutuan tidak melaksanakan pemberian Permit Kerja Sementara kepada PATI di Negeri Sabah.
Segala usaha dalam mengembangkan ekonomi perlu diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan khususnya di Negeri Sabah supaya dapat mengurangkan penghijrahan belia Sabah ke luar negeri untuk mencari rezeki.
Discussion about this post