Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk melaksanakan program vaksinasi kepada tenaga pengajar dan juga pelajar mengikut keutamaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata bagi fasa permulaan, keutamaan diberi kepada tenaga pengajar dan pelajar perubatan, pergigian dan jururawat.
“Senarai nama pelajar sudah dikemukakan kepada CITF untuk notifikasi penjadualan vaksin dan kumpulan pertama pelajar di Lembah Klang (Kuala Lumpur serta Selangor) sudah mula menerima vaksin mereka pada 22 Mei 2021.
“Bagi kumpulan-kumpulan lain, ia akan diberikan dalam fasa akan datang secara berperingkat mengikut keutamaan,” katanya dalam kenyataannya baru-baru ini.
Beliau mengulas gesaan Jawatankuasa pendidikan Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada warga pendidik di Politeknik dan Kolej Komuniti.
Gesaan itu dibuat PH selepas menerima banyak rungutan dan aduan daripada pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti yang tersisih dalam mendapat perhatian daripada kerajaan sejak penularan COVID-19 berbanding warga pendidik lain.
Mengulas lanjut, Noraini menjelaskan, kementeriannya mengambil maklum mengenai kegusaran sebahagian tenaga pengajar dan pelajar berhubung keutamaan pemberian vaksin kepada kumpulan tertentu di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti.
Semalam, Noraini memaklumkan, sebanyak 19 pusat pemberian vaksin (PPV) di IPT bakal diwujudkan, yang berkemampuan memberikan 14,000 vaksin sehari atau keseluruhan 432,000 sebulan.
Tambahan PPV di universiti awam (UA) itu akan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan lebih cepat dan kini, satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi mengenal pasti UA dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang berpotensi dijadikan PPV.
Pasukan khas itu diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, dibantu Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Razman Jarmin dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Nazirah Hasnan. – BH Online
Discussion about this post