Bermula 9 pagi tadi, lebih daripada 100,000 perwakilan melibatkan 189 bahagian UMNO di seluruh negara keluar melaksanakan tanggungjawab bagi memilih kepimpinan peringkat Bahagian, Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan Naib Presiden parti itu bagi sesi 2023-2026.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan bagi Pemilihan UMNO dijangka mula diumumkan pada jam 10 malam ini dimana secara purata setiap bahagian mempunyai perwakilan antara 500 hingga 700 orang.
“Daripada 191 UMNO bahagian yang ada terdapat dua bahagian tidak akan mengadakan persidangan perwakilan UMNO bahagian pada tahun ini iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.
“UMNO Bahagian Tanah Merah, masih digantung sejak 16 Jun 2020, manakala UMNO Bahagian Kota Kinabalu disebabkan masalah UMNO cawangan di bahagian itu.
“Kita jangka semua proses pemilihan termasuk pengiraan akan selesai menjelang jam 10 malam ini, dengan keputusan rasmi diumum secara berperingkat selepas itu sehingga tengah malam,” kata Ahmad dalam satu kenyataan yang dipetik dari media.
Selain itu, beliau juga merupakan Ahli Parlimen Pontian mennyatakan Pemilihan UMNO di 189 Bahagian masih berjalan lancar setakat ini dan berharap tidak ada berlaku sebarang kekecohan atau insiden.
“Untuk pemilihan sayap di 189 bahagian membabitkan sebanyak 567 pemilihan membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri pun cuma ada 20 bantahan.
“Ia bermakna hanya tiga peratus bantahan diterima dan 97 peratus berjalan baik. Itu dikira cemerlang. Saya juga mengharapkan perkara yang sama berlaku peringkat bahagian dan MKT,” tambahnya lagi.
Discussion about this post