18 Mac menjadi hari terakhir untuk Pemilihan UMNO sekaligus memberi peluang di peringkat Bahagian mahupun Kebangsaan untuk memilih pemimpin yang akan memimpin parti itu bagi sesi 2023-2026.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan pemilihan parti itu bukan sahaja satu tradisi penting malah merupakan satu tanggungjawab yang memberi makna dan impak besar kepada semua dalam memilih pemimpin yang akan mengemudi parti menuju masa depan.
“Maka, memilihlah dengan bijaksana dan dengan berhati-hati. Pilihlah mereka yang benar-benar setia dengan parti. Mereka yang kekal berkhidmat walau pada saat parti dalam keadaan paling terhumban. Mereka yang kekal percaya dengan parti walau pada saat masa depannya dilihat suram dan kelam.
“Saya berpesan untuk kita berfikir sedalam-dalamnya dalam memilih calon yang bagaimana mahu kita angkat dan memimpin perjuangan Melayu. Janganlah mengambil mudah tanggungjawab ini,” kata Khaled menerusi hantaran di Facebooknya.
Selain itu, beliau juga mengingat semua ahli parti untuk tidak mengambil ringan terhadap tanggungjawab yang diberikan untuk memilih dimana menganggap keputusan memilih pemimpin tidak akan memberikan kesan yang besar dimasa hadapan.
Tegas beliau, setiap perwakilan mempunyai ruang dan peluang yang seharusnya dimanfaatkan dengan pertimbangan yang terbaik.
“Saya menyerahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian, untuk berlaku bijaksana dan berhikmah, insya-Allah. Selamat memilih dan semoga kejayaan menjadi milik UMNO, parti kita dulu, kini dan selamanya,” tambahnya lagi.
Discussion about this post