Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyelar kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah dalang kluster mahkamah.
Beliau menegaskan, Presiden UMNO itu tidak bersikap seperti Muhyiddin yang sengaja mencipta isu terhadap UMNO sekaligus menjatuhkan pemimpin UMNO.
“Presiden UMNO bukan lah seperti Muhyiddin ketika awal dahulu yang sengaja mencipta kes terhadap UMNO dengan bersekongkol bersama Tun Mahathir.
“Mahkamah juga telah membebaskan beberapa pemimpin UMNO seperti Tan Sri Shahrir Ab Samad, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tengku Adnan yang terbukti tidak bersalah,” kata Lokman melalui video siaran langsung di Facebooknya.
Ujarnya, kesemua pemimpin UMNO tersebut telah terbukti tidak bersalah walaupun berlakunya pendakwaan terpilih ke atas mereka ketika Muhyiddin selaku Presiden Bersatu berada dalam Kerajaan.
Selain itu, beliau juga menekankan tuduhan Muhyiddin ke atas Zahid adalah satu tuduhan tidak berasas serta bersifat sengaja untuk menutup kes rasuah pemimpin Bersatu yang semakin terbongkar.
“Malah kalau diikutkan Peguam Negara dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah orang yang sama daripada kepimpinan sebelum ini.
“Mereka hanya menegakkan keadilan dan sekiranya rasa tidak bersalah buktilah kepada mahkamah, bukan menuding jari kepada orang lain,” ujar Lokman.
Dalam masa yang sama, tambah beliau, pemimpin Bersatu kini dilihat seperti ‘cacing kepanasan’ yang menunggu masa untuk didakwa.
Menurut Lokman, secara tidak langsung hal itu menjadikan mereka tersenarai dalam senarai Kluster Mahkamah.
“Rakyat akan menilai sendiri setelah ditipu oleh pemimpin Bersatu bahawa mereka adalah parti yang membawa slogan bersih yang hakikatnya hari demi hari terbongkar sikap rakus menggunakan duit rakyat,” tambahnya lagi.
Discussion about this post