Kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa semua pihak untuk melakukan gencatan politik dan menumpukan sepenuhnya usaha membantu rakyat ekoran pandemik COVID-19 terus mendapat sokongan.
UMNO Negeri Pulau Pinang, menyokong penuh kenyataan itu memandangkan tumpuan rakyat sekarang adalah untuk menangani isu COVID-19 dan juga menguruskan kelangsungan hidup berikutan kesan PKP yang dikenakan mulai bulan Mac 2020.
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tekanan politik dan politiking yang berlebihan akan memberi kesan besar kepada rakyat.
Sementara itu Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga turut mengalu-alukan gesaan Presiden UMNO yang telah meminta supaya semua pemimpin Kerajaan dan juga pemimpin parti politik untuk berusaha keras dalam membantu rakyat Malaysia yang semakin gelisah akibat peningkatan kes positif COVID-19 setiap hari.
“Tekanan ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, ianya juga memberi impak besar kepada semua pihak samada M40, T20, pengusaha kecil dan sederhana bahkan syarikat-syarikat besar termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pendapat yang sama turut dikongsikan oleh Adun Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Katanya Pendirian UMNO melaksanakan gencatan politik mencerminkan parti itu mengutamakan kepentingan rakyat ketika negara sedang menghadapi ujian besar, pandemik COVID-19.
Salleh yang juga Bekas Ketua Menteri Sabahadn juga Menteri Komunikasi berkata gencatan itu bukan bermaksud mengalah atau kalah tetapi membelakangkan kepentingan diri untuk kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berkata ahli politik dan parti perlu bekerja sebagai satu pasukan yang tidak mengambil kira aspek partisan dan mengetepikan prejudis.
“Masing-masing ada pendapat, ada kepakaran. Bentuklah satu pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini dikira juga sebagai ‘normal baharu’,” katanya menerusi catatan dalam blognya sallehsaid.com.
Discussion about this post