Sempena Ramadan ini, Pergerakan Pemuda UMNO Larut telah melaksanakan pelbagai program untuk menyantuni rakyat di pelbagai peringkat.
Antaranya adalah santai moreh bersama masyarakat kampung, menyalurkan bantuan asnaf dalam program Ziarah Kasih Ramadhan, edaran bubur lambuk kepada seluruh masyarakat, iftar di surau-surau serta program singgah sahur menyantuni anggota barisan hadapan yang bertugas.
Program yang dirangka khusus sempena bulan Ramadhan ini diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu melibatkan ketiga-tiga Dun di dalam Parlimen Larut iaitu Dun Batu Kurau, Dun Kubu Gajah dan Dun Selama.
Menurut Khairul Anuar Din, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Larut, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ini sebenarnya adalah tradisi UMNO Larut sejak sekian lama.
“Memang setiap tahun kita akan adakan moreh makan kerang bersama pemuda, ziarah orang sakit, singgah sahur dan pelbagai aktiviti lagi. Kerana UMNO Larut sentiasa dekat bersama masyarakat, dan akan terus meletakkan rakyat sebagai keutamaan kita.” ujarnya.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut pula yang juga merupakan Ketua Koordinator Komunikasi Barisan Nasional Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, bulan Ramadhan ini adalah bulan melipat gandakan amal kebajikan.
UMNO sebagai sebuah parti politik turut menggunakan kesempatan ini untuk melipat gandakan amalan kebajikan.
“Bukan sahaja Pemuda UMNO, malah seluruh kepimpinan UMNO di Larut daripada Jawatankuasa UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri begitu aktif menjalankan pelbagai aktiviti bersama rakyat.
”Boleh dikatakan hampir setiap hari kita ada aktiviti bersama rakyat. Setiap masjid dan surau dibantu melalui dengan sumbangan dana bagi menjalankan aktiviti, duit raya asnaf lagi, dan kita juga menganjurkan program tadarus al Quran.
“Boleh dikatakan setiap lapisan masyarakat, tidak kira tua muda di setiap pelosok kampung mendapat manfaat daripada aktiviti yang diatur.”
Discussion about this post