Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengambil kesempatan untuk membuat panggilan video kepada Pengarah dan Imam Masjidil Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah Al Kiswani bagi mengambil tahu tentang isu pencerobohan tempat suci itu oleh tentera haram zionis Israel disamping meluahkan perasaan marah atas pencerobohan itu.
“Saya mengambil kesempatan panggilan video tersebut untuk menyatakan perasaan marah saya dan seluruh ahli UMNO kepada kezaliman rejim zionis Israel dan simpati kepada penduduk Palestin di Masjidil Aqsa yang terpaksa berhadapan dengan segala bentuk ujian dan cabaran didalam bulan Ramadan yang mulia ini,” kata Zahid menerusi posting di Facebooknya.
Menurut Zahid, laporan yang diterima oleh Sheikh Omar antaranya mengenai kronologi peristwa pencerobohan itu yang mengakibatkan seramai hampir 200 orang penduduk Palestin cedera manakala 300 lagi ditahan tanpa ada alasan kukuh.
Zahid juga yang mewakili rakyat Malaysia terutamanya UMNO menyatakan sokongan dan menyakinkan Sheikh Omar bahawa akan tetap terus istiqamah bersolidariti dengan penduduk Palestin demi mempertahan kesucian Masjidil Aqsa sampai bila-bila.
Dalam masa yang sama, Zahid juga menyampaikan penghargaan yang diluahkan oleh Sheikh Omar atas keprihatinan rakyat Malaysia terutama UMNO kepada ujian yang yang menimpa rakyat Palestin dan juga ke atas Masjidil Aqsa.
“Beliau mengingatkan kembali sumbangan Biro Kebajikan UMNO sebanyak USD200,000 kepada pihak Masjidil Aqsa pada tahun lepas yang telah mereka gunakan sepenuhnya untuk membaik pulih dan menambah fasiliti di kawasan Masjid,” kata Zahid
Menurut Zahid sebelum panggilan video mereka berakhir, Sheikh Omar sempat menunjukkan suasana dipersekitaran Masjidil Aqsa kepada beliau yang ketika itu hampir sedang masuk waktu berbuka dan menyaksikan umat Islam telah mula ramai datang mengimarahkan tempat suci tersebut.
Dalam pada itu, Sheikh Omar berkongsi mengenai jangkaan kemungkinan akan berlaku semula siri-siri keganasan rejim Zionis Israel ke atas Masjidil Aqsa menjelang akhir Ramadan ini dan Zahid menyeru agar rakyat Malaysia tidak lupa untuk mendoakan keselamatan umat Islam di sana.
“Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana dan semoga Allah SWT memberikan mereka kekuatan dan kesabaran untuk terus menjadi benteng mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa Al Mubarak dari kekejaman dan kezaliman rejim Zionis Israel,” pesan Zahid.
Discussion about this post