Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihatkan agar berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter terhadap calon Barisan Nasional.
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, strategi itu digunapakai bagi merosakkan nama baik calon BN, yang beliau dakwa sering dilakukan pada pilihan raya umum 2018.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, usaha tersebut mempunyai tujuan untuk memperdaya rakyat daripada isu-isu mendasar, kepada isu yang menyerang peribadi calon BN.
“BN bercerita tentang mengembalikan kestabilan demi kemakmuran Melaka, mereka pula gigih memperlekeh calon BN. Semoga rakyat Melaka tidak menghiraukan itu lagi kerana yang penting bersama mengembalikan Melaka ke landasan sebenar.
“Kita sudah bosan dengan pendekatan lawan politik BN menghasut rakyat membenci dan memandang hina peribadi. Apa yang kita perdebatkan kompetisi ideologi, dasar, kemampuan, keberkesanan mentadbir, kejujuran dan keikhlasan parti,” katanya melalui catatan di Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN fokus untuk kembali sebagai sebuah kerajaan demi masa depan rakyat dan negara.
“Justeru misi rakyat Melaka memastikan kemenangan BN dalam PRN kali ini juga merupakan misi seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Discussion about this post