Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengakui tidak bersetuju dengan rancangan untuk mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada di antara 4.0 dengan 6.0 peratus hanya kerana Indonesia membenarkan semula eksport sawit setelah satu bulan menghentikannya.
“Menteri sendiri juga kata minyak sawit Malaysia masih mampu berdaya saing berbandung Indonesia dan cukai Malaysia juga lebih rendah berbanding negara itu, jadi pengurangan cukai ini adalah untuk manfaat siapa?” soal Najib menerusi posting di Facebook rasminya.
Sebelum ini, Menteri Perusahaan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin ada mengeluarkan kenyataan untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia.
Najib berkata, cukai eksport kebiasaannya ditanggung oleh negara pembeli atau diserap oleh penapis minyak sawit iaitu syarikat-syarikat besar.
Syarikat-syarikat ini juga menikmati keuntungan yang berkali ganda dari sebelum ini berikutan susulan harga minyak yang melambung tinggi selepas pandemik tidak termasuk dengan peneroka oleh peladang kecil yang jual buah tandan segar dan pasaran dunia masih kekurangan bekalan.
“Sebab itu saya berpendapat ianya lebih wajar untuk kekalkan cukai eksport ini dan salurkan sebahagian dana yang diperolehi bagi menstabilkan harga dan bekalan minyak masak tempatan ataupun untuk subsidi makanan lain seperti ayam dan telur,” kata Najib lagi.
Discussion about this post