Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi mengenai rintihan peniaga yang sukar untuk mematuhi harga siling ayam yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menerusi posting Facebooknya, Zahid berkata harga bekalan ayam yang diterima peniaga hampir menyamai paras siling yang ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.
Hal ini mengakibatkan peniaga tidak mendapat keuntungan kerana harga ayam yang dijual sama dengan harga siling lalu menjualnya dengan harga yang melebihi paras siling dan boleh dikenakan tindakan oleh penguatkuasa.
Zahid juga memfokuskan kebenaran dakwaan peniaga mengenai isu tersebut kerana sebelum ini langkah untuk menstabilkan harga ayam di pasaran pernah diumumkan.
“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan misalnya memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram. Ia dikatakan bagi membantu kenaikan kos makanan jagung dan soya yang merangkumi 70% kos penternakan ayam,” ujar beliau.
Selain itu, beliau berkata permit import ayam bulat juga telah dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam.
Walau bagaimanapun, peniaga mendakwa bekalan ayam yang diterima masih pada harga yang tinggi selepas pengumuman tersebut.
Dalam pada itu, Zahid turut mempersoalkan impak positif yang diberikan kepada syarikat tertentu hasil daripada pemberian subsidi dan kebenaran mengimport ayam.
Baginya, hal ini bersangkut-paut dengan tanggungjawab pihak berwajib yang mungkin terlepas pandang mengenai aspek tertentu daripada peringkat penternakan sehingga ke peringkat penjualan.
“Peringkat tertentu yang menyebabkan harga ayam masih belum dapat distabilkan dan impaknya sehingga ke peringkat pengguna. Walau apa pun yang pasti pengguna dan peniaga sama-sama terkesan akibat kenaikkan harga ayam ini,” katanya lagi.
Di samping itu, Zahid berpendapat kenaikan harga barang juga akan meningkatkan kos sara hidup pengguna berikutan keadaan ekonomi belum stabil akibat kesan pandemik telah menambah kesan perbelanjaan harian orang ramai.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata memandangkan negara ketika ini sedang beralih ke fasa endemik, peniaga yang baru mahu mengatur langkah akan terkesan apabila margin keuntungan berkurangan.
Hal ini mengakibatkan jika ayam dijual dengan harga tinggi, orang tidak beli dan jualan ayam akan merosot sekiranya pengguna mengurangkan perbelanjaan.
“Kita sokong pengeluaran makanan ternakan atau dedak alternatif dalam negara untuk turunkan harga ayam bagi jangka masa Panjang. Bagaimanapun dalam keadaan negara yang masih bergantung kepada import perlu ada penyelesaian jangka masa pendek yang konkrit,” kata Zahid.
Zahid menegaskan supaya meneliti sebaik mungkin mengenai dakwaan isu ‘orang tengah’ dan manipulasi bekalan untuk menetapkan harga yang tinggi. Isu ramai makan ayam pun tidak perlu dipersoalkan katanya kerana purata keperluan ayam sebanyak 2.09 juta ayam sehari atau 62.9 juta sebulan.
“Hujah sebegitu langsung tidak membantu berdepan isu sebenar dan sekadar mengundang ‘riwayat’ Bangau Oh Bangau,” ujar beliau.
Discussion about this post