Kerajaan negeri Perak menyediakan RM2.7 juta bagi menyediakan bantuan khas makanan untuk 35,639 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghadiri sesi persekolahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.
Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, calon SPM berkenaan akan diberikan makanan tengah hari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Februari ini. Menurutnya, ini membabitkan pelajar yang berulang-alik setiap hari dari kediaman mereka ke sekolah.
Beliau berkata, inisiatif bantuan makanan itu adalah sebahagian daripada Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang dilancarkan hari ini.
“Secara keseluruhan, seramai kira-kira 200,000 pelajar di seluruh Perak khususnya dari golongan berpendapatan rendah B40 akan mendapat manfaat melalui inisiatif TCS itu.
“Sasaran utama program adalah untuk membantu murid dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama khususnya 40,642 calon SPM negeri yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik Covid-19,” katanya ketika melancarkan program itu secara maya hari ini.
Beliau berkata, turut mendapat manfaat secara langsung daripada program TCS ialah 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada 2021, meliputi pelajar Tingkatan Empat (30,320) pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun satu (31,742).
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Saarani berkata, selain kelas tambahan secara dalam talian, program itu turut merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan dan bahan pengajaran berasaskan video.
Beliau berkata, selain dana kerajaan yang digunakan bagi menjayakan inisiatif itu, syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) turut memberikan sumbangan menjayakan inisiatif berkenaan.
Discussion about this post