Perlantikan ketua-ketua kampung di seluruh Negeri Johor dilakukan secara telus dan terbuka dan proses permohonan dilakukan secara terbuka melalui borang yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Johor di semua Pejabat Daerah ulas Bendahari UMNO johor, Datuk Md Jais Sarday.
Beliau yang mengulas isu rasa tidak puas hati pemimpin Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor terhadap perlantikan ketua-ketua kampung di Negeri Johor baru-baru ini berkata proses temuduga dilakukan oleh pihak pentadbiran Pejabat Daerah yang melibatkan semua Penghulu Mukim.
” Setelah selesai proses temuduga dan pemarkahan, pihak pentadbiran Pejabat Daerah akan mencadangkan nama-nama calon yang layak kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dibawa dan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK)”
Dan Setelah itu, nama-nama yang telah dipersetujui oleh MMK akan ditawarkan jawatan Ketua Kampung dan proses terakhir ialah Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan katanya lagi di dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Md Jais lagi, antara kriteria yang melayakkan seseorang itu untuk ditawarkan sebagai Ketua Kampung ialah penglibatan mereka dalam aktiviti sosial setempat (aktiviti; masjid, surau, sekolah, badan amal, NGO setempat dan lain-lain), tinggal di dalam kawasan kampung tersebut serta yang lebih penting dihormati oleh masyarakat setempat.
” Kriteria ini sememangnya telah sebati di kalangan ahli UMNO akar umbi kerana doktrin parti bukan semata-mata berpolitik untuk jawatan tertentu, tetapi lebih mementingkan tanggungjawab menguruskan komuniti. Inilah sebabnya di Negeri Johor, UMNO tidak dapat dipisahkan dari institusi masyarakat”
” Saya percaya semua Penghulu Mukim di seluruh daerah sangat berpengalaman dalam menguruskan kampung-kampung dan mengenali individu yang sesuai untuk menjadi ketua komuniti”
Namun, yang lebih penting, perlantikan ini telah dipersetujui oleh MMK yang ahli-ahlinya mewakili kedua-dua parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional katanya lagi.
Md Jais juga turut berharap parti PPBM tidak mengheret PAS dalam isu ini semata-mata untuk merenggangkan hubungan Muafakat Nasional (UMNO & PAS), kerana beliau yakin PAS pun menyedari kekuatannya di Johor untuk menuntut lebih banyak jawatan ini.
” Sejarah kejayaan cemerlang Kerajaan Negeri Johor yang lalu di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional adalah hasil kerjasama erat antara ahli politik yang menentukan dasar melalui Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan Kakitangan Kerajaan Johor (Johor Civil Service – JCS) sebagai pelaksana di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor” katanya lagi.
Discussion about this post